Air Tangan Warisan Bonda
Karya: Sufi Nurizzaika Binti Mohd Azli
Malaysia terkenal dengan
nama timangannya, ‘syurga makanan’ di nusantara. Bagi pelancong asing yang
berdarmawisata ke Malaysia mahupun penduduk Malaysia itu sendiri, semestinya
akan rambang mata dengan kepelbagaian juadah khususnya makanan tradisional yang
ditawarkan di negara ini. Keunikan dan keenakan makanan tradisional yang dapat
kita nikmati sememangnya tiada tolok bandingnya dengan makanan-makanan yang
bertaraf antarabangsa. Makanan tradisional ini juga sangat popular dalam
kalangan masyarakat kita di Malaysia yang kaya dengan pelbagai adat dan budaya.
“Tidak ada yang lama maka
tidak adalah yang baharu”. Ungkapan ini kedengaran cukup mudah, hakikatnya
untuk mengekal dan mempertahankan sesuatu yang lama agar tidak dihakis oleh
yang baharu memang sesuatu yang sukar. Begitu juga nasib yang dialami oleh
sesetengah makanan tradisi Melayu yang hari ini ada antaranya hampir tidak
diketahui kewujudannya. Bukan sahaja haiwan diancam kepupusan, malah banyak
makanan tradisional Melayu juga menghadapi masalah sama hingga sesetengahnya
hanya ditemui pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri atau majlis
keraian tertentu.
Kalau
ditanya pada generasi hari ini tentang ketupat daun tebu atau daun buluh,
lemang tepung, ketupat ubi kayu, kelamai atau gelamai, dodol kukus tahi minyak,
halwa maskat, pulut kukus dalam periuk kera dan pelbagai lagi, pasti ramai
terpinga-pinga kerana tidak pernah mendengar nama jauh sekala melihatnya.
Sebenarnya, setiap negeri di Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan tradisi
yang mencerminkan identiti serta keunikannya tersendiri. Oleh itu, terdapat
pelbagai makanan tradisional mengikut kaum di Malaysia. Makanan tradisional
terbahagi kepada makanan basah dan makanan kering. Antaranya ialah Nasi lemak, Tosai dan Yong
Tau Foo.
Kuihnya pula ialah Dodol, Karipap dan Bahulu. Makanan tradisional ini
semakin hari semakin popular hingga ke peringkat antarabangsa. Makanan
tradisional boleh diibaratkan seperti tak lapuk dek hujan, tak lekang dek
panas.
Sebagai tafsir, kuih tradisional
Bahulu. Dahulunya, kuih bahulu sememangnya popular pada musim-musim perayaan
sahaja. Dalam era moden ini, kuih bahulu semakin menambat hati raja sehari yang
mempelbagaikan bungkusan kuih bahulu untuk cenderahati tetamu yang hadir dalam
majlis perkahwinan mereka. Dalam hal ini, kuih bahulu telah menjadi popular di
samping terkenal dalam kalangan generasi kini. Usaha sebegini haruslah
diteruskan agar kuih-kuih tradisional akan terus terkenal di seantero dunia.
Pelbagai rekayasa perlu
dilaksanakan bagi mengekalkan makanan tradisional di negara ini untuk
memastikan ia tidak dilupakan oleh generasi muda. Makanan tradisional perlu
dikekalkan demi kesinambungan tamadun bangsa. Melaluinya, kita dapat mengetahui
asal usul diri kita. Sudah sampai masanya usaha untuk mempergiatkan kempen
mengekal dan mempromosikan makanan tradisi di negara ini. Oleh itu, usaha bagi
mengekalkan makanan tradisi adalah merupakan peranan peniaga, pengusaha, dan
pembuat yang sepatutnya tidak memilih kuih tertentu sahaja. Selain itu,
penggunaan peralatan moden bagi menjimatkan masa penyediaan makanan tradisional
ini dilihat dapat membantu mengekalkannya. Ilmu yang bermanfaat juga seperti
ramuan-ramuan istimewa yang dimiliki orang perseorangan, hendaklah
diperturunkan sama ada melalui lisan atau bertulis kerana ilmu yang dimanfaat
akan menguntungkan semua pihak sekaligus air tangan warisan bonda pada suatu
ketika dahulu, akan dapat dikekalkan.
Comments
Post a Comment