TEMPAT WAJIB UNTUK PENGGEMAR ASAM PEDAS DI MELAKA

OLEH: NOOR AZIRA MELI

Sebut sahaja negeri Melaka pasti ramai terbayangkan asam pedas Melaka yang sentiasa menjadi pilihan pengunjung. Tidak lengkap sekiranya berkunjung ke Melaka, tetapi tidak menikmati hidangan hebat itu. Hal ini kerana hidangan asam pedas Melaka cukup popular dan sinonim di negeri tersebut. Tidak hairanlah restoran asam pedas banyak terdapat di Bandar Raya Melaka bagaikan cendawan tumbuh seperti di Bandar Hilir, Kota Laksamana, Klebang, Bukit Cina dan sebagainya yang sentiasa menjadi tumpuan. Di mana-mana sahaja anda berada, sudah pasti masakan asam pedas menjadi menu utama di kebanyakan restoran di bumi bersejarah ini.

Apabila menyebut ‘asam pedas’ pasti akan terbayang jenis-jenis ikan yang sering dijadikan bahan utama masakan tersebut. Tapi pernahkah anda makan asam pedas tetel? Asam pedas tetel atau bahagian daging lembu bercampur urat dan lemak ini dihidangkan di Asam Pedas Claypot selain daripada ikan-ikan yang biasa digunakan dalam masakan asam pedas. Asam pedas tetel merupakan hidangan yang terbaik jika dimakan bersama-sama nasi dan telur masin.
Bukan sahaja asam pedas tetel menjadi pilihan, malah Asam Pedas Pasar Borong juga merupakan asam pedas yang tersenarai diantara asam pedas yang tersedap di Melaka. Jika disebut Pasar Borong, sudah semestinya pembaca akan mengetahui bahawa Asam Pedas tersebut terletak di pasar borong di Taman Melaka. Ia dibuka pada waktu malam sehingga pagi. Hal ini membolehkan pengunjung dapat menikmati asam pedas pada bila-bila masa sahaja. Mengikut maklum balas yang diterima oleh pengunjung, keenakan dan kesedapan asam pedas di Pasar Borong tersebut tidak dapat dirasai di kedai-kedai lain.
Asam Pedas Malinja merupakan lokasi asam pedas yang harus anda kunjungi. Ia bermula dengan perniagaan kecil yang hanya menggunakan kereta tolak. Lokasinya sering berubah-ubah sehingga akhirnya kekal di hadapan bukit Hotel Starits Meredian. Selepas 13 tahun, kedai tersebut diberikan tapak untuk berpindah ke tempat lain. Selepas 20 tahun, Asam Pedas Malinja masih beroperasi sebagai salah sebuah lokasi asam pedas terkemuka di Melaka. Ia terletak di Kampung Musai, Bukit Baru bersebelahan dengan Hotel Srait Meridian. 
Jika anda ke Melaka, jangan ketinggalan untuk berkunjung di Asam Pedas Selera Kampung yang pernah muncul di dalam rancangan Jalan-jalan Cari Makan dan Warung Kita. Pada harga hanya RM 6 sepinggan, pengunjung dapat merasai asam pedas Melaka yang setanding asam pedas yang terkemuka di negeri Melaka. Tidak hairan sekiranya pengunjung berebut tempat untuk singgah makan di restoran tersebut kerana hidangan yang disediakan lain dari yang lain. Waktu beroperasi dari waktu 12 tengah hari sehingga 3 pagi. Bagi penggemar asam pedas di Melaka, mereka bila-bila masa sahaja boleh berkunjung untuk menikmati hidangan yang terbaik hanya dari Negeri Melaka.
Berikut merupakan resepi Asam Pedas Ikan Merah Melaka yang dapat saya kongsikan kepada pembaca melalui sumber Azie Kitchen.


Bahan bahan:
1 ekor ikan merah - potong 6 keping atau 5 ekor ikan
1 sudu kecil pes asam jawa - jgn terlalu banyak, terlebih masam tak sedap
Garam
2 sudu ketumbar biji - tumbuk
2 sudu jintan manis - tumbuk
5 sudu cili kering kisar - boleh tambah
Bahan kisar:
8-9 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup
2 inci halia
Cara cara:
Kisar semua bahan di atas. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, bahan tumbuk dan cili kisar sehingga wangi dan cili benar-benar garing dan masak. Masukkan air secukupnya. Bila kuah mendidih, masukkan ikan. Masukkan garam dan air asam secukupnya. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.

Comments

Popular posts from this blog

MAKANAN TRADISI MASYARAKAT BRUNEI

PERLIS: Hidangan Tradisi

IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK SIMBOLIK NEGERI PAHANG